Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (kanan) memakaikan pin Hubungan Diplomatik Ke-60 Tahun Malaysia-Jepun kepada Menteri Tanah dan Pelancongan Jepun, Keinci Ishi (kiri) pada Kunjungan hormat Menteri-Menteri Jepun di Pejabat Menteri, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 MEI 2017

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak berjanji pemaju utama Bandar Malaysia yang bakal menggantikan konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH) dan China Railway Engineering Corp. (M) Sdn. Bhd. (CREC) akan menyediakan pelan pembangunan yang lebih baik.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan berkata, Perdana Menteri telah memaklumkan mengenai penamatan perjanjian jualan saham (SSA) di antara konsortium tersebut dengan TRX City Sdn. Bhd. yang berada di bawah Kementerian Kewangan kepada kabinet sebelum ini.

“Kami telah dimaklumkan oleh PM semasa mesyuarat kabinet bahawa syarikat pengganti yang akan dijemput menjadi pemaju utama nanti akan mempunyai pelan yang lebih baik dan komprehensif.

“Bagaimanapun saya tidak tahu secara terperinci mengenai hal ini cuma satu perkara yang boleh saya beri jaminan bahawa projek pembangunan Bandar Malaysia ini tetap akan diteruskan.

“Memang projek ini mengalami ‘gangguan’ namun saya memberi jaminan bahawa ianya tidak akan menjejaskan projek tersebut dan saya fikir kita tidak perlu terburu-buru.

“Kita mahu tunjukkan kepada rakyat, apa pun yang kita buat kepada Bandar Malaysia, ianya akan menjadi sebuah pembangunan yang terbaik,” katanya semasa sidang media selepas menerima lawatan Menteri Pengangkutan Jepun, Keishi Ishi di pejabatnya di sini hari ini.

Tambah Rahman, pembatalan SSA tidak sama sekali menggugat perancangan jangka panjang kerajaan terutama dalam merasionalisasikan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) serta perancangan untuk membangunkan sekeping tanah terakhir di Kuala Lumpur yang mempunyai keluasan hampir 200 hektar.

Ketika ditanya sama ada kerajaan masih berminat untuk mempelawa pelabur asing menyertai projek berkenaan meskipun persekitaran ekonomi global dan dasar antarabangsa sesetengah negara yang tidak menentu, Rahman berpendapat, berdasarkan kes lalu, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menerima pelabur asing.

Beliau bagaimanapun meminta sedikit masa sebelum membuat sebarang pengumuman terperinci mengenainya.

“Perjanjian baharu sahaja ditamatkan semalam, beri kami sedikit masa dan saya percaya Perdan Menteri sedang meneliti semua pilihan dan tawaran yang ada,” katanya lagi.

Fasa pertama projek Bandar Malaysia yang membabitkan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) di antara RM50 bilion sehingga RM60 bilion sepatutnya dimulakan tahun depan.

Pembangunan fasa pertama itu merangkumi keluasan kira-kira 40 hektar yang antara lain membabitkan pembangunan 5,000 unit rumah mampu milik serta kemudahan sistem rel Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT).

Ia akan dibangunkan secara berperingkat merangkumi tiga hingga empat fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa 25 tahun-MalaysiaGazette

Kementerian Kewangan kekal pemilikan 100 % dalam Bandar Malaysia