Home Ekonomi Pelabur asing jual RM205.5j ekuiti minggu lalu

Pelabur asing jual RM205.5j ekuiti minggu lalu

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjual sejumlah RM205.5 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu,

MIDF Research dalam laporan mingguannya berkata, jumlah jualan pada minggu berakhir 7 Julai adalah kedua tertinggi daripada lima minggu yang mana jualan bersih telah direkodkan pada tahun ini.

Menurutnya, penjualan asing paling tinggi pada minggu itu ialah pada hari Selasa, dengan pelupusan bersih mencapai RM139.2 juta, ketika ketegangan geopolitik meningkat berikutan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua oleh Korea Utara.

Trend yang sama juga berlaku di Indonesia dan Filipina, kata firma penyelidikan itu.

Penarikan balik minggu lalu mengurangkan jumlah aliran masuk bersih terkumpul setakat ini di bawah paras RM10 bilion kepada RM9.96 bilion.

Meskipun begitu, MIDF Research berkata, aliran masuk tahun ke tahun ke Malaysia masih seimbang kira-kira 30 peratus daripada jumlah aliran keluar pada 2014-2016.

MIDF Research berkata, penyertaan asing menurun minggu lepas kerana nilai perdagangan harian purata (ADTV) merosot sebanyak 36 peratus pada minggu itu, daripada RM1.24 bilion kepada RM792.2 juta.

Malah, nilai dagangan harian asing sepanjang minggu hanya antara RM710 juta hingga RM820 juta berbanding melepasi RM1 bilion sebelum ini, kata firma penyelidikan itu. – MalaysiaGazette