KWSP

KUALA LUMPUR- Prestasi ekonomi Malaysia pada separuh kedua 2018 dijangka positif didorong oleh halatuju kerajaan yang lebih jelas dan pengurangan aliran keluar dana asing manakala pasaran global pula kekal tidak menentu.

Bagaimanapun, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetap fokus untuk memberikan pulangan sekurang-kurangnya melebihi dua peratus melebihi kadar inflasi bagi melindungi nilai pelaburan pelanggan.

Setakat 30 Jun 2018, sejumlah RM1.09 bilion daripada RM12.39 bilion pendapatan pelaburan bersih telah dijana untuk Simpanan Shariah manakala RM11.30 bilion lagi untuk Simpanan Konvensional.

Nilai aset pelaburan KWSP meningkat 0.38 peratus atau RM3.05 bilion kepada RM813.8 bilion berbanding 31 Disember 2017, bagaimanapun angka tersebut menyaksikan penyusutan sedikit berbanding suku pertama 2018 berikutan kejatuhan pasaran ekuiti.

Namun begitu, kedudukan aset entiti pelaburan pesaraan itu kekal kukuh berbanding baki simpanan pencarum iaitu sebanyak RM780.07 bilion.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif, bagi suku kedua 2018, segmen ekuiti merangkumi 40.61 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP yang menyumbang sebanyak RM7.98 bilion atau kira-kira 64.44 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan bagi suku berkenaan.

Sejumlah 52.09 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam bentuk instrument pendapatan tetap yang terus menyumbang kepada pendapatan berterusan dan stabil.

“Ketegangan perdagangan AS-China yang semakin meningkat ditambah dengan kenaikan kadar faedah menyebabkan banyak aliran keluar dana dari negara pesat membangun termasuk Malaysia.

“Ini menyebabkan pasaran domestik tidak menarik.

“Sementara pasaran maju termasuk AS dan Eropah merekodkan keuntungan dalam pasaran ekuiti, pasaran membangun termasuk Asia pula mencatatkan pulangan negatif.

“Bagaimanapun, kepelbagaian sektor dan pasaran membolehkan KWSP mengekalkan prestasi dengan ekuiti sebagai penyumbang utama suku kedua,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MalaysiaGazette