Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Permohonan pendahuluan kerajaan Pas Kelantan kepada kerajaan Persekutuan adalah ‘menyambung’ pinjaman jangka pendek bagi mengatasi keperluan aliran tunai, sementara menunggu dana lain yang akan diperoleh.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pinjaman itu dibuat selari dengan perutukan perlembagaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk memberikannya kepada Kelantan.

Ini katanya, sesuai dengan semangat federalisme sekalipun Kelantan ditadbir oleh pembangkang di peringkat Persekutuan dan ia juga amalan biasa bukan sahaja bagi negeri itu.

“Lim Guang Eng (Menteri Kewangan) tidak wajar bersandiwara, meletakkan kerajaan Kelantan seolah mengemis daripada kerajaan Persekutuan, sedangkan ia adalah tanggungjawab Persekutuan sebagai imbalan kepada segala cukai yang dikutipnya daripada rakyat Kelantan.

“Semangat federalisme yang ditegaskan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam ucapan Kajian Separuh Penggal RMK-11 tidak wajar dikhianati oleh Menteri Kewangan menerusi sandiwara bertaraf kebudak-budakan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Dr Mohd Khairuddin, tidak timbul isu Kelantan secara kewangannya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar gaji kakitangannya sebagaimana dakwaan murahan Guan Eng.

Bahkan, tegas beliau, prestasi pengurusan kewangan Kelantan boleh dikatakan lebih baik berbanding negeri lain dan kerajaan Persekutuan amnya.

Jelas beliau, Kelantan dengan peningkatan pungutan hasil sebanyak RM566.52 juta pada 2017, hasil daripada proses pendaftaran tanah yang meningkat kepada RM44 juta atau 58 peratus melebihi anggaran RM28 juta, berjimat sebanyak RM2.9 juta perbelanjaan mengurus dan surplus yang dianggarkan sebanyak RM38.76 juta menjadi bukti negeri yang ditadbir oleh Pas selama 28 tahun mempunyai kemampuan untuk menunaikan kewajipan terhadap kakitangannya.

“Sebenarnya Guan Eng belum sedar beliau bukan lagi pembangkang. Malah, dia juga masih meneruskan strategi lapuknya memanipulasi fakta untuk melancarkan propaganda bagi memburukkan Kelantan kerana dendamnya yang mendalam terhadap Pas.

“Strategi sama digunakannya dalam isu hutang negara demi menutup kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji dalam Buku Harapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette