Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Tidak adil untuk menetapkan jumlah ikat jamin jutaan ringgit kepada Datin Seri Rosmah Mansor bagi pertuduhan yang dihadapinya kali ini. 

Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil berkata, ini kerana Rosmah dan suaminya Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah membayar ikat jamin belasan jutaan ringgit.  

“Berapa puluh juta wang jaminan nak dikenakan?. Mereka telah membayar RM12.6  juta  untuk pasangan yang sama (Datin Seri Rosmah Mansor dan Datuk Seri Najib Razak) sebelum ini.

“Jadi sepatutnya hari ini kita jangka mahkamah membuat keputusan untuk mengenakan wang jaminan yang minimalah sebab mereka telah bayar juga sebelum ini (untuk pertuduhan lain)

“Jadi untuk menambah lagi bayaran  jamin RM1 juta atau RM2 juta pada saya tidak munasabah. Kalau ada lagi pertuduhan mereka akan dikenakan RM1 juta, RM2 juta dan RM3 juta jadi perkara ini tidak akan berakhir,” kata bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri itu kepada wartawan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. 

Rosmah hari ini mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah Sarawak.

Beliau yang didakwa  dibawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2019 (Akta 694) dibenarkan ikat jamin dengan RM1 juta. – MalaysiaGazette