Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya tidak ada konflik antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagaimana yang didakwa ramai pihak.

Sebagai salah seorang ahli pimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Anwar ada berhubung dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan itu baru-baru ini.

“Saya fikir ia tidak benar kerana saya berkomunikasi dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut mengenai proses itu.

“Tun Dr. Mahathir mengambil tafsiran pada Perlembagaan Persekutuan dan itu adalah kedudukan yang kita ambil,” katanya selepas menerima Anugerah Kewarganegaraan Global daripada Saturna Capital hari ini.

Anwar diminta mengulas mengenai dakwaan wujudnya pergolakan antara pengerusi parti itu dengan Muhyiddin berhubung rombakan barisan Exco Kerajaan negeri Johor, baru-baru ini.

Lebih mengejutkan apabila Bersatu dilaporkan mengadakan mesyuarat khas yang menyebabkan khabar angin bertiup kencang mengenai hubungan antara kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu.

Mesyuarat diadakan pada 22 April lalu dengan dihadiri Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu.

Sebelum ini, tersebar di laman sosial paparan skrin perbualan dipercayai daripada aplikasi WhatsApp kononnya berkenaan isu dalaman parti itu.

Paparan itu kononnya Mahathir merajuk dan mahu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, didakwa ada kaitan dengan perubahan senarai Exco Johor. -MalaysiaGazette