Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Angah, 9, mendakwa dia sering dibuli tiga murid dengan cara ditendang di bahagian belakang dan paha hingga jatuh dari tangga bangunan sekolah.

JERLUN – Seorang murid perempuan tahun tiga sebuah sekolah di Ayer Hitam, dekat sini, mendakwa menghadapi masalah tulang belakang bengkok dan tidak boleh berjalan akibat dipercayai dibuli rakan-rakan sekolahnya sejak tahun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Angah, 9, mendakwa dia sering dibuli tiga murid dengan cara ditendang di bahagian belakang dan paha hingga jatuh dari tangga bangunan sekolah.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia juga terpaksa mengikat perut atau meminta wang daripada kakaknya kerana sering diperas ugut mereka yang meminta wang sakunya.

“Depa (Mereka) ini, dua perempuan dan seorang lelaki, depa selalu ejek dan hina saya kata bapa saya gila dan pakaian saya kotor tak dibasuh, depa minta duit saya dan ada seorang tendang dan pukul saya.

“Depa ugut kalau saya beritahu cikgu, mereka akan beritahu saya yang pinjam duit mereka,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gerbi, Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Akibat perbuatan mereka, Angah terpaksa menggunakan kerusi roda, malah dia turut mengalami tekanan perasaan dan tidak mahu ke sekolah lagi kerana takut dibuli.

Sementara itu, ibu mangsa, yang mahu dikenali sebagai Asma, 32, mendakwa anaknya dikesan berjalan ke sekolah secara tidak normal sejak Jun lalu dan sering sakit belakang apabila berdiri lama.

Katanya, Angah kemudiannya dimasukkan ke wad pada 15 hingga 22 Julai lalu dan menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan keputusan MRI menunjukkan tulang belakangnya bengkok dipercayai kerana ‘terhenyak’.

“Angah bukan sahaja tidak dapat berjalan lama, tetapi berdiri pun sukar kerana ia melibatkan saraf tunjang dan saya terpaksa mendukungnya jika ingin ke bilik air dan bahagian belakangnya juga jika disentuh dia akan kesakitan.

“Saya cukup terkilan dengan apa yang berlaku kerana pernah beberapa kali berjumpa guru di sekolah berkenaan namun seperti tidak diendahkan apabila mereka hanya memberi jawapan akan siasat dan pantau sahaja,” dakwanya yang juga merupakan kakitangan sebuah hospital di Alor Setar.

Dakwa Asma, Angah dijangka menjalani pembedahan pada 27 Ogos ini dan laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berhubung kejadian buli itu dua hari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr Salmee Said ketika dihubungi berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) agar siasatan dapat dijalankan.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.