gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak dua sen seliter kepada RM2.51 seliter bagi tempoh 24 Ogos 2019 sehingga 30 Ogos 2019.

Kementerian Kewangan berkata, harga bahan api bersubsidi petrol RON95 dan diesel bagaimanapun dikekalkan masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi tempog berkenaan.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.21 seliter dan RM2.25 seliter masing-masing.

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.19 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.21 seliter.

Namun begitu, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kementerian Kewangan, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM55.48 juta bagi tempoh 24 Ogos 2019 sehingga 30 Ogos 2019 kerana mengekalkan harga runcit RON95 dan diesel.- MalaysiaGazette