Timbalan Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan

SHAH ALAM – UMNO akan memberi laluan kepada Pas untuk bertanding Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)  Seri Setia, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, ia sebagai tanda menghormati dan menghargai pengorbanan Pas yang telah memberi laluan kepada UMNO pada PRK DUN Sungai Kandis.

“BN dan UMNO telah berunding secara tidak rasmi dan presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya ingin membuat pengumuman bahawa BN atau UMNO akan memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di kawasan situ,” katanya pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja hari ini.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Dr. Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia semalam.

“BN dan UMNO akan all out, akan bekerja kuat walaupun calon bukan BN dan harap Pas boleh memilih calon untuk bawa suara rakyat dalam PRK itu nanti.

“Ini permulaan titik persamaan, persefahaman antara Pas dan UMNO. Harap rakyat dapat membaca persefahaman ini untuk membawa titik baru dalam politik baru di Malaysia ini,” katanya.

Sebelum itu, Mohamad mengucapkan mewakili BN mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham Shaharuddin.

Pada PRU-14, Shahruddin menang dengan mendapat 29,250 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Yusoff M Haniff yang memperoleh 9,878 undi, calon Pas dengan 4,563 undi dan calon bebas, S. Vigneswaran dengan 217 undi. – MalaysiaGazette