Sehingga jam 11.30 pagi ini sebanyak 46,308 tandatangan dikumpul sebagai tanda bantahan terhadap cadangan ratifikasi ICERD oleh kerajaan PH.
Sehingga jam 11.30 pagi ini sebanyak 46,308 tandatangan dikumpul sebagai tanda bantahan terhadap cadangan ratifikasi ICERD oleh kerajaan PH.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam, yang membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), menerima secara asas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waythamoorthy yang akhinya mahu mengadakan rundian dengan semua pihak.

Lukman Sheriff yang mengemukakan petisyen bantahan terhadap cadangan itu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersamanya membantah cadangan itu sehingga menyedarkan menteri bahawa tindakannya itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan.

“Tahniah semua. Terima kasih. Atas usaha semua dan NGO-NGO, menteri Waythamoorty mengeluarkan kenyataan balasnya, memberi jaminan kerajaan akan melibatkan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan mengenai pengesahan ICERD.

“Setakat ini lebih 46,000 membantah ICERD,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya semalam.

Menurut Lukman, walaupun tahu perancangan meratifikasi ICERD itu sudah lama dilakukan dan merupakan satu pergerakan yang sistematik, beliau menerima secara asas penyataan menteri berkenaan.

Katanya, P Waythamoorty mengakui wujud percanggahan peruntukan Perlembagaan berhubungan cadangannya itu dan akan mengadakan rundingan dengan semua pihak.

“Sebelum ini tiada pengakuan sedemikian. Tiba-tiba saja kata hendak ratifikasi,” tegasnya.

Beliau berharap konsultasi akan diadakan dengan pihak yang telah membantah cadangan itu dengan segera.

Katanya, setakat ini beliau, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan parti Pas akan mengadakan bantahan umum.

“Kita minta Waytha menjelaskan perancangan konsultansi termasuk rundingan dengan Raja-Raja Melayu. Dia juga perlu umumkan bahawa dia menarik balik janji ratifikasi dalam suku pertama 2019.

“Terus terang saya ingin menyatakan pendirian saya, mana-mana bahagian kompromi Perlembagaan hendaklah ditentukan oleh rakyat Malaysia sendiri tanpa campur tangan kuasa asing.

“Halatuju negara kita, kita sendiri tentukannya,” katanya.

Berkenaan pengecualian atau reservasi ICERD, Lukman berkata, beliau masih berpegang bahawa reservasi itu akan menjadi substantif dan bercanggah dengan ICERD, selain boleh dipertikaikan.

Katanya, Artikel 20 ICERD dan Vienna Convention tidak membenarkan pengecualian atau reservation dibuat yang bertentangan dengan tujuan ICERD dan apa-apa reservasi sedemikian boleh dipertikaikan oleh negara luar.

“Ini memungkinkan polemik kompromi Perlembagaan dijaja dan dijadikan isu antarabangsa. Saya tidak boleh bersetuju jika sedemikian,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan