Datuk Lee Chong Wei bersama Tosh Chan (kanan) yang memegang watak sebagai Lee Chong Wei zaman dewasa dan Jake Eng (kiri) ketika zaman kanak-kanak.

KUALA LUMPUR – Filem mengisahkan perjalanan hidup serta kejayaan pemain nadminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menemui penonton pada awal tahun depan.

Filem yang berjudul Lee Chong Wei terbitan CB Pictures Sdn. Bhd. itu turut disasarkan untuk tayangan peringkat antarabangsa dengan kos pembikinan mencecah RM6 juta.

Tuah menjadi milik jejaka kelahiran Johor Bahru, Tosh Chan, 22, apabila dipilih memegang watak sebagai Chong Wei zaman dewasa dan Jake Eng, 13, ketika zaman kanak-kanak.

Datuk Rosyam Noor pula memegang watak sebagai Datuk Misbun Sidek iaitu jurulatih Chong Wei pada zaman ketika dia mula menjalani latihan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sementara itu, pengarah filem berkenaan, Teng Bee berkata, filem itu mengisahkan kehidupan Chong Wei bermula umur 14 tahun hingga 22 tahun.

“Seramai lebih 2,000 orang hadir bagi sesi uji bakat yang dilakukan di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang sebelum ditapis menjadi 100 orang.

“Malah, ada juga pemain badminton dari negara luar seperti Taiwan, China, Singapura dan Hong Kong hadir ke sesi uji bakat, kita buat penilaian semula untuk mengambil pelakon yang bersesuaian dengan watak dan rupa paras,” katanya pada sidang media filem Lee Chong Wei di sini hari ini.

Sebelum ini, filem itu mengguna judul Rise The Legend.

Teng Bee berkata, Chong Wei juga membuat penampilan istimewa dalam filem yang memulakan penggambaran pada awal Julai lalu selama 55 hari.

Beliau berkata, pihak penerbit terpaksa menunggu tiga tahun untuk membuat penyelidikan sebelum dapat merealisasikan filem seorang legenda sukan tanah air yang masih hidup. – MalaysiaGazette