Siti Nurhaliza kini sedang berehat panjang kerana hamil lima bulan lebih. Foto Instagram Rozi Razak

KUALA LUMPUR – Jakel Charity Run For Rohingya Kuala Lumpur 2017 berlangsung meriah pagi ini dengan penyertaan barisan selebriti terkenal tanahair.

Turut membuat kejutan apabila kemunculan penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menyertai larian itu.

Siti yang sebelum ini aktif dalam aktiviti basikal selain pernah menyertai Ariani Hijab Run tahun lalu kini sedang berehat panjang kerana hamil lima bulan lebih.

Sementara itu, artis lain yang turut sama melakukan aktiviti larian yang julung kali dianjurkan oleh Jakel itu ialah Fara Fauzana, Ayda Jebat, Scha Alyahya, Awal Ashaari dan pengacara Dee.

Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut menyertai Jakel Charity Run For Rohingya Kuala Lumpur 2017.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Faroz Mohamed Jakel, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa pelarian Rohingya di Myanmar.

“Kehadiran barisan artis terkenal ini tekah memberi impak besar terutama sekali kepada penyertaan dari orang ramai.

“Program ini adalah sesuatu yang bagus iaitu sambil melakukan aktiviti sihat, kita turut melakukan kerja amal dengan membantu mangsa Rohingya.

“Artis telah bersama-sama dengan peserta dan berpeluang mewujudkan silaturahim antara satu sama lain ketika acara tersebut berlangsung,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Jakel Mall di sini hari ini.

Terdapat dua kategori Jakel Charity Run For Rohingya iaitu 10 kilometer (km) dan dibahagikan kepada Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita manakala kategori 5 km berkonsepkan ‘Fun Run’ dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

Siti Nurhaliza bersama Fara Fauzana.