Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kiri) menerima memorandum bantahan UEC daripada Naib Presiden 1 Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhammad Faizuddin Zai (kanan) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Pas memberi jaminan akan membawa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bantahan ini bukan simbolik kepada sentimen perkauman sebaliknya melibatkan keprihatinan terhadap sistem pendidikan negara yang sepatutnya diselaraskan.

“Sistem Pendidikan Negara perlu diselaras, ini bukan sentimen perkauman ini polisi pendidikan negara, kita fikir dalam kerangka besar bukan perkauman.

“Kita (Pas) akan bawa isu ni dalam Parlimen menerusi sesi perbahasan kerana UEC telah membuatkan satu sistem pendidikan yang berbeza.

“Kenyataan menteri hanya wajib kepujian bahasa Malaysia tapi kecualikan sejarah adalah tidak wajar kerana tidak boleh satu kementerian mempunyai dua sistem berbeza, satu negara cukup satu sistem pendidikan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian di lobi Parlimen.

Terdahulu beliau menerima memorandum bantahan pengiktirafan UEC daripada Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia ( Gamis).

Menurut Tuan Ibrahim lagi, Gamis dalam memorandumnya antara lain mendesak semua Ahli Parlimen menolak pengiktirafan UEC kerana ianya jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan Negara 1996.

Selain itu NGO itu juga mendesak agar ahli Parlimen menggubal satu undang-undang khas atau meminda undang-undang yang berkaitan agar setiap sekolah di Malaysia, sama ada di bawah kerajaan atau persendirian wajib menyediakan kelas pengajian subjek Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia yang setara dengan sukatan pelajaran kurikulum kebangsaan kepada pelajar-pelajar mereka.

“Ahli Parlimen mestilah memboikot mana-mana pihak atau NGO yang memberikan tekanan atau paksaan kepada kerajaan untuk mengiktiraf dan melaksanakan sistem pendidikan UEC dalam negara kerana UEC jelas bersifat memelihara kepentingan pihak tertentu sahaja dan mengundang kepada krisis polarisasi kaum,” katanya.

“Ahli Parlimen mestilah memastikan sistem pendidikan negara diperkasa dan mampu menjadi platform untuk menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti yang direkodkan di dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960,” katanya.-MalaysiaGazette