DAP hari ini mengumumkan lima lagi calon yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.- Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Taklimat yang dijalankan DAP untuk pemimpin pusat dan negeri pada Khamis lalu menyimpulkan bahawa parti itu sedang berdepan “negara dalam negara” atau “daulah terpendam” yang merancang untuk merosakkan parti itu.

Konsep “daulah terpendam” atau “deep state” adalah situasi politik dalam sebuah negara apabila organ internalnya diperhatikan tidak mengakui kepemimpinan awam melalui tindakan tidak seiring pendirian pemerintah negara.

Dalam kes DAP, keadaan “deep state” boleh dirujuk penjawat awam yang pro-Barisan Nasional (BN) .

Sumber memberitahu Sinchew Daily, dalam taklimat dalaman DAP itu, pemimpin parti mengingatkan walaupun DAP sudah bergelar parti pemerintah, tetapi ia masih berdepan kuasa yang mahu memusnahkannya dan juga Pakatan Harapan.

Pemimpin parti justeru menasihatkan ahli supaya berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan termasuk mengelakkan percakapan yang mampu membawa hasutan.

Menurut sumber, pemimpin DAP juga sangat tidak berpuas hati dengan dua tindakan Kementerian Dalam Negeri iaitu pengharaman buku komik Jalur dan Jalan (BRI) terbitan Hew Kuan Yau dan penahanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Selain itu, taklimat DAP itu juga menyentuh kritikan ADUN Sungai Pelek,  Ronnie Liu terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengenai isu Ronnie, pemimpin DAP mengingatkan ahli supaya tidak melakukan serangan peribadi, tetapi parti itu pada masa yang sama tidak menyatakan Ronnie sebagai bersalah.

Taklimat itu berjalan hampir tiga jam dengan dihadiri pemimpin pusat dan negeri.

Mereka bagaimanapun hanya tersenyum tanpa memberi ulasan apabila dihampiri media selepas selesainya majlis taklimat. – MalaysiaGazette