Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar. Foto AFIQ RAZALI.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memperinci semula kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Beliau mempersoalkan kenapa baru sekarang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendak memperincikan pelaksanaan itu sedangkan ia sudah berjalan dan ada pihak yang sudah dikompaun.

“Undang-undang sudah dilaksanakan, baru nak diperinci? Sudah bersunat baru perinci nak buang banyak mana dan nak guna mudin kampung atau doktor. Apa punya kerajaan PN ni. P****** Negara,” katanya di Twitter hari ini.

Mahfuz mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang kerajaan akan memperincikan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat.

Takiyuddin semalam berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19, hari ini.

Pihak berkuasa pada Khamis lalu mula mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berulang.

Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador jumlah sebenar kompaun dikenakan itu tertakluk kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah jika pesalah membuat rayuan. – MalaysiaGazette