SMART SBB BERNAS di Sungai Batu Pahat, Perlis dengan keluasan tanah 49 hektar.

PROGRAM SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Kampung Sungai Batu Pahat, Perlis berpotensi meningkatkan hasil dan mutu padi keluaran tempatan, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 30 pesawah yang terlibat di sini.

Seiring dengan matlamat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), program SMART SBB Bernas telah digerakkan sejak bulan April 2021 yang lalu.

Ia melibatkan kawasan penanaman padi luar jelapang seluas 49 hektar yang diusahakan dalam musim 2/2020 dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI, antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan Bintong, Perlis dan Lembaga Pertubuhan Peladang Perlis.

Nordin Salleh (tengah) bersama Zulkefli Hussein (kanan) dan Madzlan Nadzar (kiri), peserta SMART SBB BERNAS di Sungai Batu Pahat, Perlis

Nordin Salleh, 65 tahun, yang berperanan sebagai penyelia program SMART SBB Bernas Sungai Batu Pahat berkata, inisiatif ini banyak mendatangkan manfaat kepada peserta.

Ia bukan sahaja membantu dari aspek penyelarasan sistem pengurusan ladang secara berkelompok yang ternyata lebih efisyen, malah turut membuka ruang ke arah pembangunan infrastruktur asas seperti sistem saliran air yang sering menjadi kekangan kepada para pesawah khususnya di kawasan luar jelapang seperti di Sungai Batu Pahat
ini.

Menurut Nordin lagi, program ini turut membantu para pesawah untuk mengusahakan sawah mereka secara berpasukan dan lebih sistematik.

Impaknya dapat dilihat apabila penggunaan input-input pertanian seperti baja, racun dan sebagainya dapat dioptimakan dan pembaziran dielakkan.

Ia secara keseluruhannya turut mengurangkan kos operasi pengurusan ladang berbanding ketika mereka mengusahakan sawah secara individu.

“Para pesawah yang menyertai program ini turut didedahkan kepada amalan-amalan pertanian terancang bagi membentuk disiplin kerja yang lebih berkesan dan produktif. Bernas turut membimbing mereka menerusi penetapan Jadual Kerja Ladang yang lebih teratur yang mampu mengurangkan risiko kepada tanaman, mengelakkan pembaziran input pertanian dan menghasilkan padi yang lebih bermutu,” kata Nordin yang mempunyai pengalanan lebih 20 tahun mengusahakan sawah.

“Saya melihat program SMART SBB Bernas  sebagai satu peluang kerjasama strategik yang menguntungkan pesawah selain menjadikan mereka sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan sektor padi dan beras di negara ini,” akhiri beliau.

Salah seorang peserta program SMART SBB Bernas , Zulkefli Hussein, 53 tahun pula berkata program ini memberikan jaminan pendapatan dari penjualan hasil padi mereka. Penanaman padi sememangnya terdedah kepada pelbagai risiko luar jangka terutamanya cuaca yang tidak menentu. Bagaimanapun, Bernas menjamin untuk membeli hasil tuaian kami dalam sebarang situasi dan ini memberikan satu kelegaan kepada kami.

“Kami hanya perlu memberikan tumpuan kepada penjagaan sawah dengan baik. Alhamdulillah walaupun ini merupakan fasa pertama projek, kami sudah dapat melihat peningkatan dari segi hasil dan kualiti padi,” kata Zulkefli.

Hasil tuaian Smart SBB di Sungai Batu Pahat menunjukkan peningkatan pada musim ini.

Seorang lagi pesawah Madzlan Nadzar, 61 tahun berkata SMART SBB Bernas juga memperkenalkan penggunaan teknologi terkini kepada peserta program.

“Kami amat teruja dengan teknologi dron yang digunakan. Sebelum ini, kami melakukan kerja-kerja membaja dan meracun secara manual yang memerlukan penggunaan masa dan tenaga yang banyak.

”Kini, penggunaan teknologi dron memberikan hasil semburan baja dan racun yang lebih sekata meliputi seluruh kawasan ladang dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat dan tanpa menggunakan tenaga seperti dahulu. Kerja kami menjadi lebih mudah dan kami turut mempunyai masa terluang untuk melakukan kerja-kerja harian lain.

“Saya berharap ramai lagi pesawah, terutamanya di kawasan Sungai Batu Pahat akan turut serta menyertai program SMART SBB ini kerana banyak manfaat akan diperolehi,” katanya lagi.

Sebagai salah sebuah syarikat peneraju SMART SBB, Bernas akan sentiasa memberi sokongan kepada para pesawah melalui pelbagai platform perkongsian ilmu pengetahuan bagi membimbing mereka dalam selok-belok pengurusan ladang yang baik. – MalaysiaGazette