Seorang lelaki berdoa berhadapan mimbar dalam kawasan Raudhah yang disebut Nabi Muhammad SAW sebagai taman surga tempat dimana doa akan dimakbulkan oleh Allah SWT di Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2021.

MADINAH – Kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan beberapa kelonggaran baharu berkaitan Covid-19 yang akan mula berkuatkuasa esok.

Melalui perintah baharu iti, Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah kembali dibuka dengan  kapasiti penuh.

Bagaimanapun ia menetapkan syarat semua jemaah mesti berusia 12 tahun ke atas dan telah lengkap divaksin.

Selain itu,  para jemaan dan orang ramai yang menunaikan solat masih diwajibkan memakai pelitup muka di dalam kedua-dua buah masjid berkenaan.

Manakala untuk sebarang ibadat ziarah di Raudah dan Makam Nabi Muhammad S.A.W masih perlu mendapatkan tempahan slot atau permit melalui aplikasi Eatmarna

Oleh kerana kedua-duanya telah dibuka dengan kapasiti penuh, tempahan slot menjadi lebih mudah untuk diakses jemaah.

Melalui pengisytiharan itu, penguatkuasaan penjarakan sosial di semua tempat awam, pengangkutan awam, restoran dan tempat berkumpul dimansuhkan serta merta.

Pada masa yang sama, Arab Saudi turut melonggarkan penggunaan pelitup muka di tempat terbuka tidak lagi diwajibkan kecuali di tempat-tempat tertutup yang tiada akses pengudaraan.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi memaklumkan kesemua peraturan ini boleh berubah bergantung situasi semasa wabak Covid-19 di negara itu.- MalaysiaGazette