SHAH ALAM – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berkolaborasi dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengerakkan misi bantuan pasca banjir di kawasan yang terjejas di Selangor.
Menurut Pengurus Besar NAFAS, Abu Sujak Sahuji, kerjasama julung kali dengan UiTM Cawangan Selangor tersebut merangkumi aspek pembersihan di sekitar kawasan yang terjejas dengan memberi fokus kepada rumah-rumah ahli Pertubuhan Peladang dan pejabat pertubuhan itu.
Misi yang dilaksanakan pada 8 dan 9 Januari itu turut melibatkan pembersihan kawasan kemudahan awam seperti masjid, surau dan juga premis yang memerlukan khidmat sukarelawan.
“Inisiatif Nafas dan UiTM Cawangan Selangor ini merupakan CSR dalam usaha meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir susulan kejadian bah luar biasa yang melanda Selangor pada 17 Disember lalu dan bencana yang berterusan akibat cuaca
semasa yang tidak menentu di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Misi bantuan selama dua hari itu melibatkan seramai 150 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar UiTM Kampus Puncak Alam, pelajar UiTM Kampus Shah Alam serta staf NAFAS.
Turut hadir Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor Prof. Madya Dr. Badrul Isa dan Pengurus Kanan Kumpulan Pembangunan Perniagaan Nafas Nazwan Fauzan.
Tumpuan awal misi bantuan pasca banjir adalah di Hulu Langat yang melibatkan kawasan pembersihan surau, balai raya serta rumah penduduk setempat di Batu 17, Kampung Dusun Tua dan juga ladang ternakan udang kara milik ahli-ahli Pertubuhan Peladang.
Selain kerja-kerja pembersihan, sukarelawan turut membantu mengagihkan sumbangan daripada pelbagai pihak kepada mangsa-mangsa banjir di perumahan sekitar Batu 16, Kampung Dusun Tua, Hulu Langat.
“Kolaborasi yang sama akan digerakkan juga bersama UiTM Cawangan Johor – Kampus Segamat dengan penglibatan pelajar-pelajar yang akan memberi tumpuan di Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
“Program CSR Nafas dan UiTM ini akan diperluaskan lagi dengan kampus-kampus UiTM di negeri lain yang berdekatan dengan kawasan bencana yang memerlukan khidmat sukarelawan,” kata Abu Sujak.
Tambah beliau, usahasama itu secara tidak langsung dapat menanam sikap keprihatinan dari kalangan mahasiswa UiTM terhadap mangsa bencana alam.- MalaysiaGazette