MELAKA – Polis Melaka menumpaskan sindiket penipuan cinta, bungkusan dan pengedaran dadah yang didalangi warga asing dengan menyamar sebagai profesor serta pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam satu serbuan, semalam.

Dalam serbuan di tiga unit pangsapuri dan sebuah rumah di Bukit Beruang dan Ayer Keroh, antara jam 5 pagi hingga 10 pagi itu, polis menahan empat lelaki serta dua perempuan berusia antara 23 hingga 44 tahun yang ketika itu sedang leka menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah, hasil pemeriksaan di premis terbabit polis menemui pelbagai barang kes disyaki digunakan untuk melakukan penipuan dan pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.

“Antara barang dirampas adalah botol untuk menghisap dadah, satu paket dadah ketamin seberat 2.6 gram, tujuh paket ganja (34.73 gram) dan satu ketulan mampat ganja (600 gram).

“Turut dirampas, dua pendrive, enam unit komputer riba, 12 telefon bimbit, seunit alat pencetak, sijil dan dokumen yang disyaki palsu serta buku yang mengandungi skrip untuk menipu mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri hari ini. Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis (IPK) negeri, JSJK Superintendan E Sundra Rajan.

Mengulas lanjut Razali berkata, berdasarkan barang kes dirampas, sindiket itu menjalankan aktiviti penipuan ‘love scam’ dan ‘parcel scam’ terhadap rakyat Malaysia sejak enam bulan lalu.

“Kegiatan penipuan ini jelas dengan penemuan skrip digunakan untuk berbual dengan mangsa serta gambar-gambar samaran yang ditemui di dalam komputer riba dirampas menggunakan wajah lelaki warga asing yang kacak untuk memikat mangsa.

“Tiga daripada mereka termasuk dua wanita itu didapati positif dadah, manakala tiga lagi negatif dan keemua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan,” tambahnya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette