Sebahagian peserta yang menyertai Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang memegang plakad bantahan di Jada-an Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang hari ini mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga yang melanda negara.

Justeru rata-rata himpunan yang dikendalikan oleh para pemimpin Parti Amanah Negara itu memberi tempoh 11 hari kepada kerajaan untuk melaksanakan ketiga-tiga tuntutan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, tiga tuntutan yang dimaksudkan adalah mengembalikan semula subsidi makanan, menghapuskan permit AP bekalan makanan import dan memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan masalah bekalan makanan.

“Kita mengemukakan tiga tuntutan utama ini agar kerajaan memandang serius dan segera mencari langkah penyelesaian.

“Kita mahu subsidi makanan yang dihapuskan kerajaan dikembalikan semula kerana rakyat selaku pengguna marhaen terkesan teruk dengan kenaikan harga barang keperluan asas khususnya makanan basah iaitu ayam,” katanya di pekarangan Masjid Jamek hari ini.

Malah Faiz berkata, pihaknya mahu kerajaan menghapuskan segera permit AP terhadap makanan import serta merta kerana ia mengakibatkan industri makanan dalam negara dimonopoli pihak tertentu sehingga mengakibatkan rakyat menderita akibat kenaikan harga barang yang agak kritikal.

“Tuntutan ketiga, kita mahu kerajaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera memanggil satu sidang khas di Parlimen untuk membolehkan kesemua ahli Parlimen dapat duduk berbincang mengenai masalah bekalan makanan dengan mencari kaedah penyelesaian yang tuntas untuk menyelamatkan rakyat daripada terus ditekan dengan kenaikan harga barang dalam negara.

“Lagi pun dari segi pengamatan kami apa yang dilaksanakan oleh kerajaan semasa dalam mengekang kenaikan harga barang sebenarnya sudah gagal dan mengeruhkan lagi keperitan rakyat,” ujarnya.

Himpunan Bantahan kenaikan harga barang itu disertai kebanyakannya oleh para pemimpin pembangkang terutama dari parti Amanah dan juga PKR.

Antara pemimpin yang hadir adalah Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad; Ahli Parlimen Lumut merangkap Setiausaha Agung Amanah; Datuk Mohd Hatta Ramli; ADUN Templer Park, Mohd Sany Hamzan merangkap Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ahli Parlimen Kapar; Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid serta bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Bagaimanapun perhimpunan itu hambar dan tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan pihak penganjur.

Sebaliknya hanya sekitar 50 orang peserta  menyertai bantahan itu malah pengamal media dilihat melebihi jumlah peserta yang hadir.

Dalam pada itu, Mohd Sany berkata, pihaknya memberikan tempoh 11 hari kepada kerajaan Perikatan Nasioanal untuk memperhalusi dan melaksanakan tuntutan pihaknya.

“Kami sudah kemukakan tiga tuntutan ini dan tiada alasan untuk kerajaan tidak mendengar suara kami.

“Jika kerajaan gagal menunaikan tiga tuntutan ini dalam tempoh masa yang diberikan, kami akan mengadakan himpunan besar-besaran pada 16 Julai ini membantah kenaikan harga barang.

“Tempoh 11 hari yang diberikan rasanya memadai untuk kerajaan mempertimbangkan dan melaksanakan tuntutan kami yang membabitkan kebajikan rakyat,” tegasnya.

Manakala Khalid pula menjelaskan bahawa kerajaan sekiranya prihatin dan peduli kebajikan rakyat boleh menangani masalah kenaikan harga barang secara baik.

“Industri makanan kita sudah matang, tiada alasan untuk kita tidak dapat mengawal kenaikan harga barang. Kita boleh berunding duduk bersama dengan kerajaan mencari kaedah secara bersama untuk mengawal kenaikan harga barang sekiranya kerajaan bersedia untuk mendengar kami.

“Kerajaan tolong ambil serius masalah ini lakukan sesuatu untuk selamatkan rakyat dan negara tetapi menyedihkan bahawa segala yang mereka lakukan dalam soal mengawal harga barang sebenarnya sudah gagal,” ujarnya.

Dalam pada itu himpunan bantahan yang bermula pukul 2 petang dan berakhir setengah jam kemudian tanpa sebarang kekecohan.

Para anggota polis daripada Ibupejabat Polis Dang Wangi termasuk anggota cawangan khas turun ke lapangan memantau keadaan sekitar Masjid Jamek di Kampung Baru.

Anggota polis trafik telah mengawal aliran trafik di jalan hadapan masjid sepanjang himpunan itu. – MalaysiaGazette