Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berucap pada Bengkel Reformasi Institusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) bersama Kementerian, Jabatan Dan Cso dan Ngo Tahun 2023 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Aiac), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji semula perkhidmatan guaman yang disediakan menerusi Jabatan Bantuan Guaman dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said tidak menafikan perkhidmatan guaman adalah komponen yang penting untuk menegakkan keadilan.

Bagaimanapun, kata beliau, bukan setiap rakyat di negara ini dapat menanggung kos guaman.

“Oleh itu, sistem bantuan guaman yang sedia ada ini akan dikaji semula untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan.

“Akta Bantuan Guaman 1971 akan dipinda sekiranya perlu,” katanya pada Bengkel Reformasi Institusi di sini hari ini.

Menurut Azalina, ketelusan dan integriti institusi adalah salah satu agenda penting Kerajaan Perpaduan.

Oleh itu, katanya, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia iaitu sebuah badan bebas yang menangani aduan orang ramai terhadap agensi kerajaan akan diberi pertimbangan sewajarnya.

Mengenai pembaharuan sistem pengadilan jenayah dan hak asasi manusia, Azalina menjelaskan, pada 21 Disember lalu, kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori pada sesi Parlimen akan datang.

Jelas beliau, cadangan pindaan tersebut bertujuan mengembalikan budi bicara mahkamah untuk menentukan hukuman yang setimpal berdasarkan fakta kes dan keadaan tertuduh.

“Cadangan pindaan tersebut tidak bermakna kerajaan tidak memandang serius jenayah berat ataupun soft on crime malah kerajaan mengambil pendekatan yang holistik dan sedang dalam proses menyemak semula keberkesanan sistem pengadilan jenayah termasuk aspek mengurangkan kadar jenayah berulang, pembaharuan sistem penjara dan polisi hukuman berlandaskan keadilan restoratif.

“Pendekatan ini juga sejajar dengan sasaran Jabatan Penjara Malaysia supaya dua pertiga banduan yang layak akan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang tahun 2030,” katanya lagi.

Katanya, dua hari lepas, beliau menghadiri Program Permukiman Jemaah Menteri di Seri Perdana, Putrajaya, yang mana setiap Menteri telah diberi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang spesifik sebagai kayu ukur pencapaian.

Beliau menekankan, Kerajaan Perpaduan walaupun terdiri daripada lima gabungan parti politik tetapi masing-masing mempunyai matlamat yang sama iaitu dasar dan pembaharuan undang-undang wajib sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.

“Arus reformasi undang-undang memerlukan penglibatan dan kerjasama yang menyeluruh antara kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette