Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas telah melantik peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil ke atas akhbar Nanyang Siang Pau dengan kadar segera.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah menghantar salinan pelantikan peguam itu kepada Peguambela dan Peguamcara Tetuan Tengku Amilin ‘A-Ishah Puteri, Faizi dan Wan Rohimi untuk tindakan.

Menurut beliau, Pas Pusat memandang serius langkah akhbar itu yang dengan sengaja dan dengan niat menyiarkan karikatur menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 8 April lalu.

“Kita menganggap penyiaran tersebut dalam semua keadaan bertujuan menghina bukan sahaja Presiden Pas dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, malah semua umat Islam dan juga Undang-undang Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Takiyuddin, Pas tidak boleh berkompromi dalam perkara seumpama itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Untuk itu Pas telah pun melantik peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil dengan kadar segera.

“Dalam hal ini, Pas juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula permit penerbitan akhbar berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette