Noraini Ahmad
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju untuk membentangkan laporan tunggakan tuntutan balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion esok atau sehari lebih awal daripada yang dijadualkan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, ini bagi mengelakkan lebih banyak spekulasi berhubung laporan tersebut.

“Selepas dibentangkan di Dewan Rakyat, orang ramai boleh memuat turun laporan berkenaan daripada laman web Parlimen di www.parlimen.gov.my/pac pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, PAC mengeluarkan kenyataan bahawa pembentangan laporan berkenaan akan dibuat pada Selasa 16 Julai.

Menurut Noraini, semua ahli PAC berjaya mencapai keputusan sebulat suara untuk  menyiapkan laporan tersebut khususnya rumusan dan syor berhubung tuntutan itu.

Mereka mengambil masa selama 11 bulan untuk menyiapkan laporan itu dengan mengadakan 10 mesyuarat prosiding membabitkan 10 saksi.- MalaysiaGazette