Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada ceramah bossku bersama rakyat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Kanchong, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 09 APRIL 2019

SEREMBAN – Strategi Pakaran Harapan (PH) menyerang peribadi Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau telah diketahui oleh Datuk Seri Najib Razak.

Strategi itu bertujuan untuk ‘membunuh karakter’ dan politik Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mad dalam penduduk Negeri Sembilan dan pengundi-pengundi Rantau.

Menurutnya, beliau mendapat maklumat bahawa pihak lawan Barisan Nasional (BN) telah menyenaraikan beberapa isu peribadi ke atas calon Barisan Nasional itu.

Lantaran itu, Najib berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan lebih awal kepada Tok Mad dengan menghubungi beliau.

“Saya sudah tahu dia kena serang, saya telefon dia.

“Saya kata kepada dia PH ada 9 isu nak ‘tembak’ (serang) Tok Mad. Saya sudah dapat info, betul lah,” katanya di Kampung Kanchong, Rantau.

PH dalam siri kempen PRK DUN Rantau banyak membangkitkan tentang kekayaan Mohamad antaranya memilik rumah banglo berkonsepkan Minangkabau bernilai RM6 juta di Seremban 2.

Malah, pemindahan dana sebanyak RM10 juta ke London pada 2009 melalui pengurup wang bagi tujuan pembelian pangsapuri turut dibangkitkan semula.

Artikel berkaitan:Tok Mad, rumah Minangkabau di Seremban 2 siapa punya?

Tok Mad enggan layan cerita ‘budak bodoh’

Tak hairan kalau Tok Mad berharta, kata KJ

Saya tak bersalah, buat apa Speaker ungkit lagi – Tok Mad

Pada 26 Oktober 2009, Mohamad dikesan memindahkan wang berkenaan ke London menerusi pengurup wang dan dikatakan melanggar Akta Pengurupan Wang 1998 serta tidak melalui prosedur dan kebenaran Bank Negara Malaysia.

Bagaimanapun Mohamad yang kini Timbalan Presiden UMNO menafikan berlaku salah guna kuasa dalam isu berkenaan yang berlaku lebih sedekad lalu.

Najib yang turun berkempen kali ketiga di Rantau berkata, Mohamad tidak bersalah kerana mengumpul harta kerana latar belakang anak jati Rantau itu memang mampu berbuat demikian.

“Tok Mad ini orang korporat di peringkat Asia. Jadi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif), adalah harta sikit.

“Apa salahnya dia beli satu dua apartment atau banglo. Tidak ada salah,” katanya.

Sebaliknya, Najib berkata, rakyat perlu buka mata dengan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini yang mempertikaikan kemewahan anak-anak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Anak orang lain itu harta dia berbilion-bilion. Yang cakap ini bukan saya, Presiden PKR sendiri. Masa tidak baik dulu, dia serang habis-habisan.

“St Miguel siapa punya, kata dia. Dia paling takut saya jadi perdana menteri, itu reaksi beliau,” katanya merujuk kepada satu video yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu. -MalaysiaGazette