MUALLIM – Merdeka! Merdeka! Merdeka, laungan keramat dilaungkan untuk membangkitkan perasaan cinta kita kepada negara setiap kali menyambut kemerdekaan.

Namun demikian, laungan dan pernyataan sahaja tidak membawa kepada kemakmuran seutuhnya, sekiranya semangat patriotisme tidak diresapkan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.

Kemerdekaan kita kecapi bukanlah dicapai dalam masa yang singkat, tetapi ia ditempuh dalam suatu masa panjang dan pelbagai situasi dramatik.

Oleh itu, semangat patriotisme amat penting disematkan di dalam jiwa setiap rakyat bagi menzahirkan rasa cinta akan negara.

Demi menyemarakkan rasa cinta dan memperkukuhkan lagi semangat patriotisme dalam diri semua warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pusat Alumni UPSI telah
menjalankan satu program iaitu Webinar Patriotisme: Pelan Tindakan Kita yang dianjurkan pada 30 Ogos 2021.

Pusat Alumni UPSI sangat berbesar hati kerana program dua ini dihadiri tetamu khas iaitu Ustaz Mohd Erfino Johari. Program ini telah berlangsung selama 2 jam iaitu bermula pada pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang melalui medium Cisco Webex.

Seterusnya, program ini diteruskan lagi dengan kupasan tajuk patriotisme dari Ustaz
Mohd Erfino Johari.

Antaranya adalah menelusuri dan memahami bentuk patriotisme dunia, meneroka konsep patriotisme menurut Islam melalui penelitian terhadap pelbagai dalil al-Quran dan hadis sahih bertemakan patriotisme. Buktinya, beliau menyatakan bahawa “terdapat 123 ayat dalam al-Quran mengangkat tema berkaitan patriotisme”.

Beliau juga berkongsi topik perlembagaan Persekutuan Malaysia, walaupun negara kita mempunyai masyarakat berbilang kaum, perlembagaan masih mengutamakan keistimewaan orang Islam melayu, namun ia tidak menepikan bangsa-bangsa lain.

Menurut beliau juga, dua perkara yang menjadi keutamaan bagi sesebuah negara adalah keamanan dan keagamaan.

Di samping itu juga, perkongsian topik pancang Rukun Negara yang disampaikan oleh
ustaz, jelas menunjukkan bahawa semangat patriotisme ini mampu menghalang sikap
prejudis terhadap mana-mana kaum, bangsa, agama mahupun ideologi parti politik.

Sebelum berakhirnya sesi perkongsian, Ustaz Mohd Erfino Johari memberi rumusan
terhadap pelan tindakan yang boleh dilaksanakan iaitu dengan menyuburkan pencak cinta
negara yang bertunjangkan pengetahuan dan pemahaman ketatanegaraan.

Menurut pegangan beliau, “jika kita warganegara yang tidak tergolong sebagai negarawan, kita boleh berbakti kepada negara dengan cara berbeza iaitu mempertahankan negara melalui ilmu pengetahuan dan hujah yang baik”.

Disamping itu pelan tindakan kita adalah dengan melaksanakan program kesedaran dan kefahaman berterusan berkenaan hak kebebasan rakyat yang sama rata tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India.

Pelan tindakan terakhir yang dijelaskan oleh beliau adalah dengan menyediakan platform ilmiah yang terakreditasi dan diiktiraf yang merentasi fakulti dan disiplin pengajian agar semangat patriotisme dapat dipupuk secara berterusan.

Ustaz Mohd Erfino Johari juga tidak lupa meninggalkan nasihat kepada para peserta bahawa sebagai mahasiswa perlu memperkukuhkan jati diri dengan tugasan kepimpinan yang bermatlamatkan keberhasilan rasa perpaduan dan cinta akan negara. – MalaysiaGazette