Mesyuarat MAKUM

LANGKAWI – Sekretariat Mahasiswa di bawah Majlis Kebudayaan Universiti Universiti Malaysia (MAKUM) akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat sebagai barisan pelajar hadapan yang menguruskan aktiviti dan program kebudayaan dan kesenian universiti-universiti awam.

Pengerusi MAKUM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, pemimpin pelajar yang menghadiri Bengkel Pemerkasaan Mahasiswa sempena Mesyuarat MAKUM ke-106 di sini telah diberi peranan untuk menubuhkan sekretariat tersebut dengan memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang kepada pemimpin pelajar membuat keputusan.

“Sekretariat Mahasiswa MAKUM merancang beberapa program kebudayaan berimpak tinggi yang selari dengan konsep membangun Malaysia MADANI ke arah penyatuan bangsa Malaysia yang mempunyai nilai budaya dan pemikiran.

Prof Dr. Arifin Abdu

“Antara perancangan adalah menjadikan dikir barat, zapin dan kuda kepang sebagai muzik intrumentasi bagi kanak-kanak down sindrom di Malaysia, Jepun, Korea dan beberapa negara lain.

“Selain itu, program berimpak tinggi Perkampungan Budaya peringkat kebangsaan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dan MAKUM juga akan dilaksanakan,” katanya.

Arifin berkata. penubuhan sekretariat itu sejajar dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk melahirkan pelajar yang holistik dengan smart dan sharp skills dalam menentukan hala tuju MAKUM.

Katanya, Datuk Seri Mohamed Khaled juga berhasrat agar universiti mendedahkan pelajar kepada lebih banyak peranan dan amanah serta mendapat pendidikan yang terbaik melalui pendedahan dan penguasaan ilmu.

Prof. Dr. Arifin yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia berkata, mesyuarat turut memfokuskan kepada perancangan, agenda dan hala tuju baharu yang bersandarkan kepada 11 Aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Pengerusi MAKUM, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Kementerian Pendidikan Tinggi, Hirman Awang, pegawai MAKUM dan pemimpin pelajar (kebudayaan dan kesenian).

Sementara itu Hirman Awang berkata MAKUM ialah majlis pertama universiti awam yang melibatkan pelajar dalam mesyuarat dan bengkel untuk merangka dan melaksana aktiviti berimpak peringkat nasional dan antarabangsa.

“MAKUM menekankan Social Innovation dan Social Enterpreneurship dengan melibatkan pemain industri dalam memperkasa kebudayaan bangsa dalam dan luar negara.

“Program pengantarabangsaan kebudayaan untuk membawa nama Malaysia juga menjadi agenda utama wakil Majlis Perwakilan Pelajar dan Penggiat Seni Pelajar dari 20 buah universiti awam dalam Mesyuarat MAKUM,” katanya.

MAKUM yang ditubuhkan pada tahun 1993 ialah organisasi di bawah Jawatankuasa Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Reaktor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) 20 universiti awam untuk menangani hal ehwal kebudayaan universiti. – MalaysiaGazette