Khaled
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Mohamed Khaled Nordin kesal dengan dakwaan Menteri Besar Johor mengatakan syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) di negeri itu mempunyai hutang yang banyak.

Sebenarnya, menurutnya, serangan ke atas GLC Johor bukan perkara baharu tetapi skrip lama dari DAP yang dibangkitkan pada 2016.

“Saya pernah menjawab perkara ini secara mendalam dan terperinci cuma, saya terkesima apabila skrip lama DAP ini dikutip dan dikitar semula oleh YAB Menteri Besar Johor sekarang, yang nampaknya sangat jelas tidak membuat semakan sebelum menuduh GLC Johor mempamerkan prestasi yang teruk kerana hutang yang banyak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Khaled, dalam konteks GLC Johor, dakwaan sebegini bukan sahaja sangat tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.

“Ini kerana, kenyataan tersebut tidak dibuat dengan memberikan konteks yang sebenar, maklumat yang lengkap serta kriteria penilaian yang adil dan objektif.

“Pertama sekali, adalah tidak konklusif dan kurang bijak untuk kita menilai kekuatan dan kedudukan sesebuah konglomerat dengan hanya melihat jumlah hutangnya.

“Jumlah hutang semata-mata tidak menunjukkan prestasi sebenar syarikat. Sebaliknya, hutang tersebut mestilah dinilai dan dirujuk bersama-sama dengan aspek-aspek penting yang lain.

“Misalnya, berapa banyakkah jumlah aset semasa, jumlah tunai atau simpanan semasa, bayaran dividen, trend aliran keluar masuk tunai, rekod dan keupayaan membuat bayaran balik hutang, pulangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang,” ujarnya lagi.

Menurut Mohamed Khalid, kesemua aspek itu harus dinilai dan diambil kira. dan mesti turut mengambil kira sumbangan dan pelaburan sosial yang bukan bersifat dan bermatlamatkan keuntungan dalam bentuk material atau wang.

“Terdapat banyak sumbangan tidak langsung GLC kepada masyarakat dan negeri Johor yang mesti turut diambil kira dalam menilai ‘untung-rugi’ mereka.

“Misalnya, tajaan biasiswa, pemerkasaan pendidikan, program komuniti, kewujudan peluang pekerjaan, perkongsian pintar, pemindahan teknologi, inisiatif dalam pemeliharaan alam sekitar serta pelbagai aspek lain,” katanya.

Sekalipun secara kewangannya, ada yang melabelkan GLC ini sebagai rugi namun kita tidak boleh terus menolak sumbangan besar serta pelaburan sosial mereka kepada masyarakat.

Malah, menurut Mohamed Khaled, dalam konteks GLC, inilah aspirasi dan mandat sesetengah mereka iaitu untuk membawa kesejahteraan dan perkongsian kemakmuran dengan masyarakat dengan cara membangunkan persekitaran sosial yang baik dan bukannya memaksimumkan keuntungan material yang dikira dari aspek kewangan semata-mata.- MalaysiaGazette